Blog T'baik CapAyam D M'sia!

Hantaran Mahal Punca Ramai Lelaki Membujang


HAMPIR kesemua barang dinaikkan harga masa kini, menyebabkan hantaran kahwin turut menjadi lebih mahal daripada yang sepatutnya. Permasalahan ini yang menjadikan ramai rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan remaja yang ingin berkahwin tidak mampu untuk menyediakan hantaran yang sebegitu banyak.

Ramai remaja sekarang ini masih tidak mendirikan rumahtangga disebabkan hantaran kahwin semakin tinggi. Ramai yang berada dalam situasi tertekan kerana masalah adat dalam perkahwinan yang melibatkan kewangan.

Seperti yang kita tahu hantaran itu adalah wang yang diminta oleh pihak perempuan untuk belanja membuat kenduri perkahwinan di pihak perempuan.

Namun begitu, tidak perlulah pihak wanita meminta hantaran yang tinggi sedangkan pihak lelaki tidak mampu memenuhi. Cukuplah sekadar memenuhi keperluan yang penting sahaja.

Perkahwinan tanpa melibatkan mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi adalah lebih baik dan mudah mendapat keberkatan berbanding yang mahal kerana itu bakal menyukarkan pihak kurang berkemampuan, menyukarkan perkahwinan yang diperlukan untuk menghalalkan hubungan pasangan yang memerlukan, mudah dihinggapi penyakit riya’ dan menunjuk-nunjuk kekayaan.

Dinyatakan bahawa Nabi s.a.w bersabda:
إن أعظم النساء بركة أصبحهن وجوها وأقلهن مهرا
Ertinya: Sesungguhnya wanita-wanita yang paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya. (Riwayat Ibn Hibban)

Seperti yang kita tahu perkahwinan adalah satu ibadah dan akan memdapat ganjaran pahala dalam Islam jika kita melaksanakan dengan penuh keikhlasan.

Budaya meletakkan wang hantaran yang tinggi sebenarnya tidak digalakkan dalam Islam kerana ia mendorong kepada pembaziran. Selain itu, membazir juga merupakan amalan syaitan dan secara tidak langsung akan membebankan sebelah pihak yang terpaksa menyediakan wang hantaran yang tinggi.

Perkara sebegini akan menyebabkan ramai remaja yang ‘berhutang’ disebabkan alasan untuk berkahwin. Di dalam Islam seharusnya tidak perlu membebankan bagi mereka yang ingin berkahwin dan haruslah memberi jalan yang senang kepada mereka. Disebabkan itu, ramai yang membujang lantaran hantaran kahwin mahal.

Sesebuah perkahwinan seperti itu akan menjadi haram sekiranya nilai wang hantaran yang ditetapkan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk sehingga menimbulkan perasaan riak.
Mufti Perak, Tan Sri Harrussani Zakaria berkata, tidak salah untuk meletakkan nilai hantaran yang tinggi jika pasangan itu mampu, namun jika tujuan sebenarnya adalah untuk menunjuk-nunjuk, perbuatan itu adalah haram.

Seharusnya tidak perlu menunjuk-nunjuk jika tidak berkemampuan dalam menyediakan barangan yang mahal sehingga mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman. Ini akan mengakibatkan kesusahan selepas berkahwin kerana perlu membayar balik wang yang telah dipinjam dengan kadar segera.

Maka, bersederhana amat penting dalam hal ini dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah dari segi menyediakan hantaran jika kedua-dua belah pihak berbincang dengan baik. 

Jadi, jika GST dilaksanakan sekalipun tidak perlulah menaikkan wang hantaran disebabkan secara automatik kenaikan harga. - HARAKAHDAILY 2/12/2014

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
0 Komentar untuk "Hantaran Mahal Punca Ramai Lelaki Membujang"

Back To Top